comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah Tinggi kekal keputusan pembantu dapur warga Thai bebas tuduhan bunuh

Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini mengekalkan keputusan melepaskan dan membebaskan pembantu dapur warga Thailand, Alsu Nichi, 24, atas pertuduhan membunuh rakan senegara, lima tahun lalu. FOTO: NSTP

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini kekal dengan keputusan melepaskan dan membebaskan pembantu dapur warga Thailand atas pertuduhan membunuh rakan senegara, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Alsu Nichi, 24.

“Setelah mendengar keterangan saksi pihak pembelaan dan setelah mendengar hujahan- hujahan dari kedua belah pihak, saya mendapati pihak pembelaan berjaya meimbulkan satu keraguan yang munasabah dalam kes pihak pendakwaan.

“Dalam kes ini pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan yang munasabah. Oleh demikian tertuduh dilepaskan dan dibebaskan,” katanya, hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Abdul Rosah Jamu, 24 (ketika kejadian) di belakang sebuah restoran tomyam, Jalan Tampin Bukit Emas, di sini, pada jam 9.30 malam, 21 April 2019.

Sehubungan itu, tertuduh yang berasal dari Pattani, Thailand didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, seramai 18 saksi dipanggil memberi keterangan.

Mahkamah Tinggi, di sini, pada November 2021 melepaskan dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri, namun pihak pendakwaan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan Malaysia.

Pada September lalu, tertuduh membela diri di Mahkamah Tinggi, di sini, yang mana tertuduh sendiri memberi keterangan dan pihak pembelaan turut memanggil saksi doktor psikiatri dan memanggil semula pegawai penyiasat.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini