comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah Tinggi batal pampasan kemalangan RM1.2 juta kerana penipuan

Foto hiasan

IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memberikan pampasan RM1.2 juta kepada seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan, dengan alasan insiden itu dipenuhi dengan penipuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Wahab Mohamed berkata, hakim perbicaraan terkhilaf apabila beliau gagal untuk mempertimbangkan sewajarnya bukti langsung dan paling dipercayai yang ada.

Katanya, hakim juga gagal mempertimbangkan kenyataan plaintif, L Ravi mengenai kemalangan itu, kerana bukti bergambar yang diberikan polis menunjukkan tiada kerosakan pada belakang motosikalnya.

Ravi, dalam kenyataan tuntutannya berkata, sebuah kereta melanggar belakang motosikalnya. Bagaimanapun, laporan perubatan menyatakan bahawa dia bersendirian dan terjatuh di jalan yang licin.

Wahab berkata, terdapat bukti bahawa Ravi berada di bawah pengaruh alkohol, yang juga tidak diambil kira oleh hakim perbicaraan.

Bukti fizikal adalah penting tetapi hakim mahkamah sesyen terkhilaf apabila menganggap bukti yang penting sebagai tidak relevan, katanya dalam membenarkan rayuan oleh Liberty General Insurance Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Am General Insurance Bhd.

Syarikat insurans, yang diwakili oleh Appandi Yatim, masuk sebagai pencelah semasa perbicaraan, mendakwa berlakunya penipuan dan konspirasi.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan memihak kepada pemandu kereta, G Gunalan, dan pemilik kenderaan G Yesu Steven yang menginsuranskan kenderaan dengan Liberty.

Wahab berkata, defendan telah menimbulkan keraguan tentang kemalangan yang didakwa berlaku, manakala laporan polis seolah-olah menunjukkan berlakunya pemalsuan.

Sementara itu, peguam defendan K Selvanayagan dan Kenneth George William menunjukkan terdapat percanggahan material antara keterangan Ravi dan saksi-saksinya.

Ravi, yang diwakili oleh S Ganesh, mendakwa dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu oleh Gunalan di KM57 jalan utama Ipoh-Kuala Lumpur pada jam 6.30 petang pada 17 Okt 2016.

Akibatnya, Ravi mengalami kecederaan parah termasuk lumpuh bahagian bawah badan. Dia membuat laporan kira-kira 90 hari selepas kejadian, manakala Gunalan membuat laporan sembilan bulan kemudian.

Bagaimanapun, Gunalan dan Steven tidak dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan. Tahun lepas, Mahkamah Sesyen memutuskan memihak kepada Ravi dan memberikannya RM1.24 juta dalam bentuk ganti rugi, dan kos RM44,000.-FMT

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini