comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah: Sarjan polis didakwa terima rasuah RM1,500

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM1,500, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Fitry Ismail, 32 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fitri didakwa menerima wang itu dari seorang lelaki yang kini berusia 26 tahun sebagai suapan setelah dia kononnya telah membantu menyelesaikan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 terhadap lelaki berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 11.34 malam, 18 November 2020 di luar pintu utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu ketika bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Cawangan Narkotik, di IPD itu.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fauzee Azizan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan diarahkan untuk melapor diri di Pejabat SPRM Langkawi sebulan sekali.

Tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac 2023.

Loading...
Terkini