PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan penahanan seorang lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ dan 13 pengikutnya pada 2020 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah sah di sisi undang-undang.
Keputusan dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Azizah Nawawi sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penahanan Abdul Kahar Ahmad, 71, dan 13 yang lain melanggar Perlembagaan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk S Nantha Balan dan Datuk Hashim Hamzah turut menolak rayuan semua 14 individu itu berhubung isu pampasan RM10,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
“Kami membenarkan rayuan ini dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 14 April 2022 manakala rayuan Abdul Kahar dan 13 yang lain, ditolak.
Mahkamah ini tidak membuat perintah terhadap kos,” katanya dalam penghakiman, hari ini.
Selain Jais dan ketua pengarahnya, empat perayu lain terdiri daripada ketua pegawai penguatkuasa agama Islam Selangor, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam Masnizar @ Mohd Nizar Mohtar, kerajaan negeri dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam Shanizah Ngatiman.
Ketika membacakan keputusan itu, Azizah berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memutuskan Seksyen 23 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Sebelum ini, media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tindakan Jais menahan Abdul Kahar yang pernah mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ pada 2020 adalah menyalahi undang-undang.
Mahkamah sivil itu turut membatalkan peruntukan dalam enakmen syariah Selangor yang memberi kuasa kepada mahkamah syariah negeri untuk mengenakan ikat jamin kepada individu yang disyaki.
Hakim Mahkamah Tinggi, Noorin Badaruddin membuat keputusan itu pada 14 April tahun lalu apabila membenarkan Abdul Kahar Ahmad dan 13 yang lain mencabar penahanan mereka oleh pihak berkuasa Islam negeri pada malam 20 September 2020.