KUALA LUMPUR: Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan pagi ini akan mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam yang lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu.
Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada prosiding sama, Hakim Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril, juga akan akan mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan bagi menyokong dakwaannya mengenai kewujudan titah itu.
Jika mahkamah membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, ia sekali gus akan mengenepikan keputusan mahkamah tinggi dan mengarahkan supaya kes itu diremitkan (dikembalikan) ke mahkamah sama untuk didengar meritnya.
Bagaimanapun, jika Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, Najib masih boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 3 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung titah adendum.
Dakwaan ada Titah Adendum sebelum ini hanya khabar angin.
Amarjeet memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Pada 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC, Najib kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.