IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam ketika menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut, empat tahun lalu sebagai kes homisid.
Sekali gus Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner yang dibuat pada 16 Jun tahun lalu yang memutuskan ‘keputusan terbuka’ berhubung inkues bagi menentukan punca kematian pegawai kadet itu, 19 Mei 2018.
Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, pegawai TLDM yang bertanggungjawab terhadap latihan kadet itu telah menafikan si mati daripada mendapatkan rawatan perubatan sehingga menjurus kepada punca kematian.
“Mengambil kira semua bukti terhadap siasatan punca kematian (inkues), Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan terbuka koroner dan menggantikan dengan homisid.
Punca kematian si mati adalah edema pulmonari yang disebabkan oleh leptospirosis.
“Kematian si mati yang tidak dijangka adalah akibat langsung daripada pegawai TLDM yang bertanggungjawab untuk latihan kadet itu telah menafikan si mati daripada mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.
Abdul Wahab membuat keputusan itu mengikut Para (d) Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 2 dan mengikut Seksyen 337 Kanun Prosedur Jenayah dalam menentukan siapa yang secara jenayah terlibat dalam punca kematian.
Hujahnya lagi, koroner telah terkhilaf mengenai ‘keputusan terbuka’ yang dibuat berhubung punca kematian Soosaimanicckam tanpa mempertimbangkan bukti yang ada.
Peguam, Zaid Malek yang mewakili keluarga Soosaimanicckam, berkata keluarga Soosaimanicckam bersyukur dengan keputusan itu memandangkan mereka sudah berjuang untuk mendapatkan keadilan bagi mendiang sejak enam tahun lalu.
“Kita bersyukur dengan keputusan hari ini apabila akhirnya ada pihak yang patut dipertanggungjawabkan sebagai punca kematian si mati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding yang turut dihadiri bapa mendiang, S Joseph, 71, dan abang, Charles Joseph, 38.
Pada 16 Jun tahun lalu, Koroner Ainul Shahrin Mohamad memutuskan punca kematian Soosaimanicckam semasa menjalani latihan pegawai kadet di KD Sultan Idris pada 19 Mei 2018 adalah disebabkan edema pulmonari.
Ainul Shahrin berkata, menurut laporan, mendiang terbuang air besar ketika mandi sebelum tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Angkatan Tentera Lumut dan disahkan meninggal dunia selepas itu.
Sehari selepas insiden itu, TLDM dalam kenyataan media, memaklumkan Pegawai Kadet Graduan (PKG) itu mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya pada jam 12.20 tengah hari selepas selesai menjalani latihan fizikal yang menjadi rutin harian pelatih.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.