
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini menolak permohonan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan KDEB Waste Management Sdn Bhd untuk membatalkan tuntutan kecuaian dan pelanggaran kewajipan statutori terhadap mereka berhubung banjir Taman Sri Muda yang berlaku pada 2021.
Sekumpulan 50 penduduk memfailkan tindakan sivil terhadap MBSA, KDEB dan lapan pihak lain pada 2022, menuntut ganti rugi RM3.8 juta.
Penduduk mendakwa, MBSA meluluskan terlalu banyak pembangunan di kawasan itu dan KDEB gagal menguruskan kutipan sisa domestik dan perkhidmatan pembersihan awamnya dengan baik.
Peguam V Vemal Arasan, berkata Hakim Datuk Zaki Abdul Wahab menolak permohonan itu dan mengarahkan tindakan sivil yang dikenakan terhadap mereka diteruskan.
“Mahkamah memutuskan bahawa terdapat isu yang perlu didengar pada perbicaraan penuh,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Vemal berkata, mahkamah turut mengarahkan MBSA dan KDEB masing-masing membayar kos RM4,000.
Selain itu, mahkamah akan mendengar permohonan berkaitan yang dibuat Kerajaan Persekutuan; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma); Menteri Tugas-Tugas Khas; Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi; Menteri Alam Sekitar dan Air; serta Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membatalkan saman yang sama.
Kerajaan berhujah bahawa tuntutan mahkamah itu tidak mendedahkan sebab tindakan yang munasabah dan bahawa banjir itu “Kudrat Tuhan”.
Mahkamah akan mendengar permohonan kerajaan pada 9 Ogos.