KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ dan dua rakan wanitanya daripada pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan, menjual rakaman video lucah serta memilik bahan lucah.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan waran tangkap dikeluarkan pada prosiding sebelum ini tidak dapat diserahkan kepada mereka.
AI Ringkas
Keputusan Mahkamah: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Hasli Ikhwan Arif (‘Hot Daddy’) dan dua wanita, Norshazrina Md Zamri serta Norhidayah Mahadi, daripada pertuduhan berkaitan pengiklanan khidmat persundalan, menjual video lucah, dan memiliki bahan lucah. Keputusan dibuat kerana waran tangkap belum disempurnakan dan penjamin gagal hadir.
Butiran Kes: Ketiga-tiga tertuduh didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk pengiklanan khidmat persundalan melalui aplikasi X, penjualan video lucah, dan pemilikan bahan lucah, dengan hukuman maksimum sehingga 15 tahun penjara, sebatan, atau denda jika sabit kesalahan.
Tindakan Pihak Pendakwaan: Waran tangkap dikeluarkan terhadap semua tertuduh tetapi belum dapat disempurnakan. Polis masih mengesan tertuduh, dan penjamin tidak memberikan penjelasan mengenai ketidakhadiran mereka.
Jelasnya dalam prosiding hari ini, usaha mengesan tertuduh telah diserahkan kepada pihak pendakwaan sebanyak tiga kali, namun waran tangkap masih belum disempurnakan.
“Mahkamah juga merekodkan semua penjamin gagal hadir dan gagal memberi sebarang penjelasan mengenai ketidakhadiran semua tertuduh hingga tarikh hari ini.
“Oleh itu, mahkamah melepas tanpa membebaskan ketiga-tiga tertuduh ini sehingga waran tangkap dapat disempurnakan,” katanya.
Selain ‘hot daddy’ atau nama sebenarnya Hasli Ikhwan Arif, turut dilepaskan dalam prosiding hari ini, dua rakan wanitanya Norshazrina Md Zamri dan Norhidayah Mahadi.
Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip dalam prosiding hari ini berkata waran tangkap yang dikeluarkan sebelum ini ke atas ketiga-tiga tertuduh yang gagal hadir semasa sebutan kes tidak dapat disempurnakan dan mereka masih dalam pengesanan polis.
“Notis kepada penjamin telah diserahkan, namun penjamin tidak pernah hadir untuk memberi penjelasan mengenai ketidakhadiran tertuduh,” katanya.
Hasli Ikhwan Arif, 32, Norshazrina, 27, dan Norhidayah, 24, didakwa membuat pengiklanan khidmat persundalan mengunakan aplikasi X menyebabkan orang yang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat D7 (Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap) Bukit Aman kira-kira 10.10 pagi 16 Januari lalu yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan
Ketiga-tiga tertuduh juga didakwa menjual rakaman video lucah di Pejabat Jenayah Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini pada 11.54 malam 15 Januari lalu mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Manakala Hasli Ikhwan dan Norhidayah berdepan pertuduhan memiliki bahan lucah di Pejabat D7 Bukit Aman pada 4 petang 22 Januari lalu mengikut Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.