SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini mengetepikan pendakwaan terhadap pegawai polis Sheila Sharon Steven Kumar, 35, atau dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ daripada pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis.
Hakim Mahkamah Tinggi Norsharidah Awang membenarkan rayuan pegawai polis itu kerana tuduhan terbabit tidak dibacakan kepadanya ketika dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan majistret seperti mana dikehendaki undang-undang.
Terdahulu, peguam Sheila, M. Manoharan, berkata timbalan pendakwa raya memaklumkan keputusan Mahkamah Majistret melepas tanpa membebaskan (DNAA) Sheila, 35, adalah kerana “masalah teknikal” di pendaftar mahkamah.
Berikutan itu, Manoharan berkata majistret terkhilaf membenarkan DNAA kerana tiada tuduhan dikenakan terhadap anak guamnya.
“Rayuan dibenarkan dan perintah DNAA yang dikeluarkan majistret pada 26 Jun lalu diketepikan,” kata hakim melalui penghakiman ringkasnya.
Bagaimanapun, kata hakim, tiga lagi tuduhan dibacakan terhadap Sheila dan diambil pengakuannya pada 26 Jun lalu kekal dengan tarikh perbicaraan sudah ditetapkan selama tiga hari bermula 5 Februari tahun depan.
Pada 26 Jun lalu, Sheila mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang atas tiga pertuduhan ugutan dan mengaibkan anggota bawahan serta orang awam.
Dia didakwa mengugut seorang wanita dengan niat mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sheila juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu” mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi tuduhan ketiga, Sheila mengaku tidak bersalah menyebut pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya.