KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof, dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, untuk mendapatkan pasport antarabangsa sementara bagi menunaikan umrah.
Hakim, Rosli Ahmad meluluskan permohonan itu selepas pihak pendakwaan tidak membantah. Pasport pasangan itu akan diserahkan bermula hari ini, dan perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 15 Januari.
Terdahulu, peguam Ashok Athimulan yang mewakili pasangan suami isteri itu memohon pasport diserahkan sementara kepada anak guamnya yang akan bertolak ke Arab Saudi pada 5 Januari untuk menunaikan umrah.
“Kedua-dua anak guam akan pulang ke Malaysia pada 14 Januari, oleh itu pasport akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 15 Januari. Saya mohon pasport diserahkan hari ini kerana ketiadaan pasport sukar untuk melakukan visa dan sebagainya,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, tidak membantah permohonan tetapi bertanya sama ada perancangan umrah dibuat sebelum atau selepas pertuduhan. Fadzaruddin menjelaskan bahawa rancangan itu dibuat selepas pertuduhan.
Pada 5 Disember lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 21 Ogos 2018, dengan dana berkenaan dikatakan dipindahkan secara tidak sah daripada akaun syarikat FashionValet ke syarikat lain tanpa kelulusan lembaga pengarah.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 Januari depan.