comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah benar peguam Najib berhujah prosiding Badan Peguam cabar Lembaga Pengampunan

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Najib Razak hari ini dibenarkan Mahkamah Tinggi untuk berhujah pada prosiding permohonan Badan Peguam Malaysia bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap bekas perdana menteri itu.

Badan Peguam dalam permohonannya, memohon perisytiharan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda ke atas Najib, menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Pada prosiding hari ini, mahkamah dijadualkan mendengar permohonan Badan Peguam yang diwakili peguam Zainur Zakaria untuk mengemukakan hujahan secara ex-parte (sebelah pihak), bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman.

Bagaimanapun, Hakim Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mengemukakan hujahan pada peringkat kebenaran, selepas memutuskan ia adalah kes berkepentingan awam.

Hakim itu kemudian memberi masa tiga minggu kepada Muhammad Shafee untuk memfailkan hujahan dan kemudian menangguhkan prosiding kepada 18 September ini.

Terdahulu, Muhammad Shafee mencelah dan memohon untuk dibenarkan turut sama menyertai prosiding dan berhujah, selepas Zainur selesai mengemukakan hujahan.

Muhammad Shafee memberikan alasan bahawa semakan kehakiman berkenaan membabitkan kepentingan anak guamnya.

Bagaimanapun, ia dibantah oleh Zainur kerana menurutnya, Muhammad Shafee tidak boleh menyertai prosiding pada peringkat kebenaran, tetapi boleh berhujah dalam semakan kehakiman (apabila kebenaran diperoleh).

Pada 2 Februari lalu, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, dengan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Susulan itu, pada 26 April lalu, Badan Peguam memfailkan permohonan kebenaran itu dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, serta Najib sebagai responden pertama dan kedua.

Badan itu juga memohon injunksi kekal menghalang bekas perdana menteri atau wakilnya daripada mengemukakan sebarang permohonan untuk pengampunan, tunda hukum atau lega hukum kepada Lembaga Pengampunan.

Turut dipohon, perintah larangan terhadap Lembaga Pengampunan untuk menerima, mempertimbangkan atau menentukan sebarang permohonan daripada Najib bagi pengampunan, tunda hukum atau lega hukum.

Permohonan injunksi dan perintah larangan itu adalah sehingga atau melainkan semua pendakwaan jenayah atau pertuduhan terhadap Najib selesai; Najib secara terbuka mengambil tanggungjawab atas tindakannya yang beliau telah disabitkan; dan beliau menyatakan keinsafan dan penyesalan atas tindakan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini