PETALING JAYA: 17 lelaki yang didakwa melakukan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Selangor lima tahun lalu dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Iskandar Zainol membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan sebarang unsur pertuduhan kepada mereka. Sehubungan itu, mahkamah juga memutuskan tidak memanggil mereka untuk membela diri.
Perkara itu disahkan oleh peguam Kirthiraj Rajasundram yang mewakili salah seorang tertuduh, Saifullah Abdullah.
Tertuduh lain ialah Riduan Sekh Ruslan, Irwan Noordin, Khairi Abdul Rashid, Rozaihan Zakaria, Qayyum Mohd Faisal, Ashraf Mohd Faizal, Absal Eastrie Abdullah, Jalil Talib, Khairol Anuar Zabidi, Zamri Md Said, Shukri Razali, Nor Azmi Abdul Ghani, Shahril Danniel Sajeel, Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Azi dan Norul Ismawi Islahuddin.
Menurut Kirthiraj, mahkamah turut mendapati saksi yang dikemukakan gagal untuk mengenal pasti tertuduh serta tidak boleh dipercayai kerana telah memberikan keterangan yang bercanggah di mahkamah.
Katanya lagi, pihak pendakwaan juga tidak mengemukakan sebarang senjata sebagai bahan ekshibit seperti pisau walaupun ianya ada dinyatakan dalam kertas pertuduhan.
Susulan keputusannya itu, Iskandar turut memerintahkan supaya wang jaminan dikembalikan semula kepada semua tertuduh.
Semua tertuduh berusia antara 24 hingga 47 tahun itu didakwa merusuh dan memiliki senjata berbahaya antara jam 2 hingga 5 pagi pada 26 November 2018. Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut laporan, keganasan meletus selepas sekumpulan orang memasuki kuil itu. Ia susulan isu untuk memindahkan kuil berkenaan dengan beberapa pengikutnya enggan berbuat demikian.
Rusuhan menyebabkan beberapa orang cedera dan puluhan buah kenderaan dibakar. 24 jam kemudian lebih banyak lagi kenderaan dibakar dan anggota pasukan Bomba dan Penyelamat yang datang susulan panggilan kecemasan yang diterima mereka pula diserang.
Insiden itu kemudian turut meragut nyawa seorang anggota bomba, Adib Kassim yang cedera di tempat kejadian sebelum meninggal dunia di Institut Jantung Negara sebulan kemudian.
Mahkamah koroner memutuskan kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali pada 2019.