comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahfuz diarah bayar RM250,000 kepada Sanusi

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar membayar ganti rugi RM250,000 kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ia susulan keputusan Hakim Dr Arik Sanusi Yeop Johari membenarkan saman fitnah Sanusi terhadap Naib Presiden Parti Amanah Negara itu melalui kenyataannya berhubung pembelian kenderaan pelbagai guna MPV, Toyota Vellfire oleh Syarikat Air Darul Aman (Sada) tiga tahun lalu.

Jumlah itu membabitkan ganti rugi am RM200,000 dan ganti rugi tauladan RM50,000.

Selain itu, Mahfuz selaku defendan juga perlu menanggung kos guaman RM30,000.

Arik dalam keputusannya turut memerintahkan Mahfuz supaya memohon maaf melalui akhbar harian berbahasa Malaysia dan Inggeris serta di dalam akaun Facebooknya berdasarkan perkataan yang diterima oleh Sanusi dalam tempoh 14 hari selepas keputusan itu.

Pada masa sama, mahkamah turut membenarkan permohonan Sanusi untuk mendapatkan perintah injuksi kekal terhadap Mahfuz, ejen dan penyokongnya daripada mengulangi kenyataan fitnah itu.

Dalam penghakimannya, Arik berkata Mahfuz mendakwa Sanusi telah mengarahkan syarikat milik kerajaan negeri, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) membeli sebuah kereta Vellfire untuk kegunaan peribadinya adalah satu fitnah dan berniat jahat terhadap Menteri Besar Kedah itu.

Oktober 2020, Sanusi menfailkan saman fitnah terhadap Mahfuz berhubung kenyataannya dalam Facebook yang mendakwa beliau yang juga Pengerusi Sada membeli sebuah MPV mewah dengan menyalahgunakan wang Sada.

Mahfuz membuat kenyataan itu melalui Facebook di bawah tajuk “Komen Politik Semasa” pada 17 Oktober 2020.

Menurut peguam Sanusi, kenyataan Mahfuz itu dikeluarkan dua hari selepas Sada mengeluarkan kenyataan rasmi menjelaskan bahawa pembelian kenderaan itu adalah untuk kegunaan pengurusan tertinggi syarikat itu.

Katanya, pihaknya berjaya menunjukkan kepada mahkamah bahawa Vellfire itu diparkir di kediaman Ketua Pegawai Eksekutif Sada dan bukan untuk kegunaan Menteri Besar.

Mahkamah memberikan Mahfuz tempoh 14 hari untuk menjelaskan denda itu.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini