comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Love scam: 20 warga asing dihadapkan ke mahkamah

Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Seramai 20 scammer lelaki warga asing termasuk 19 warga China tidak mengaku salah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memperdayakan mangsa menggunakan taktik ‘love scam’.

Semua tertuduh berusia 21 hingga 36 tahun itu membuat pengakuan berkenaan dihadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin selepas pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Mandarin.

19 warga China itu adalah He Ne, Guang Liang, Jin Yi Hao, Zhang Wei, Liu Zhi Rong, Li Ya Xuan, Ran You, Zhang Shi Han, Zhao Run Qiang, Lu Ye Ri, Li Peng, Yu Liang, Liu Bing, Liu Lin, Li Jua Gang, Chen Kui Peng, Zhi Xiao Bo, Zhao Ke Yu dan Wang Yin Cheng manakala seorang lagi warga Taiwan iaitu Wu Wen Jung.

Mengikut kertas pertuduhan mereka melakukan pakatan jahat jenayah yang menyalahi undang-undang dengan memperdayakan mangsa melalui ‘love scam ‘ dan secara curang mendorong mereka menyerahkan wang.

Perbuatan itu dilakukan secara bersama di Jalan Saujana 2, Horizon Hill di Iskandar Puteri, kira-kira jam 12.30 tengahari pada 23 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Nevin manakala semua tertuduh diwakili peguam, Goh Sze Han dan Ahmad Yusri Ahmad Fuad.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan dua orang penjamin warga tempatan, selain lapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan 18 November ini.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dalam satu kenyataan berkata semua tertuduh ditahan pada 23 September lalu hasil serbuan ke atas sebuah premis kediaman di Horizon Hill, Iskandar Puteri.

Katanya, kediaman terbabit disyaki digunakan sebagai tempat operasi pusat panggilan bagi membuat tawaran kerja yang tidak wujud.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini