comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lokman setuju mohon maaf, bayar pampasan untuk selesai kes fitnah Khairy

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin keluar dari Mahkamah Sivil Kuala Lumpur setelah selesai kes saman terhadap Datuk Lokman Noor Adam. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam hari ini bersetuju untuk memohon maaf dalam tempoh 30 hari dan membayar pampasan kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Ia antara terma dipersetujui bagi penyelesaian secara baik kes saman fitnah berhubung isu vaksin COVID-19 dikemuka Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO sebagai plaintif terhadap Lokman selaku defendan di luar Mahkamah Tinggi di sini.

Ketika prosiding kes saman itu, peguam bela Khairy, Abdul Rashid Ismail berkata terma lain ialah Lokman perlu memadam tujuh ‘posting’ atau hantaran membabitkan gambar, video dan kenyataan yang disiarkannya menerusi Facebook serta Youtube.

Tambahnya, defendan setuju untuk tidak menyiarkan dan berkongsi semula kenyataan fitnah berkenaan serta semua kenyataan fitnah itu dipadamkan.

Menyiarkan permohonan maaf dalam bahasa Melayu serta Inggeris mengikut terma dipersetujui di Facebook dan Youtube defendan serta membayar satu jumlah yang tidak boleh didedahkan kepada plantif sebagai pampasan.

Hakim, Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan kemudian merekodkan penyelesaian secara baik kes saman itu oleh kedua-dua pihak.

“Tiada perintah untuk kos dalam kes ini. Tahniah (atas penyelesaian kes) dan mahkamah menghargai usaha serta bantuan kedua-dua pihak. Alhamdulillah, kita selesai rekodkan penghakiman persetujuan dan terima kasih,” katanya.

Lokman tidak hadir pada prosiding namun diwakili peguam, Logen Eskander Abdullah.

Sementara itu, Khairy ketika ditemui pemberita menzahirkan rasa puas hati apabila Lokman bersetuju memohon maaf dan membayar pampasan terbabit.

“Saya berterima kasih kepada hakim. Puas hati dia (Lokman) perlu minta maaf dan akan bayar seperti mana dipersetujui,” katanya.

Khairy, 48, yang memfailkan saman terhadap Lokman, 51, pada 25 Januari 2022, memohon perintah injunksi supaya defendan memadam kenyataan dan video bersama kapsyen, tajuk serta komen dalam tempoh 24 jam serta injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula hantaran itu.

Beliau juga memohon perintah mahkamah supaya defendan memadam kenyataan fitnah yang diterbitkan semula di semua portal berita dan akaun media sosial dalam tempoh 24 jam.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Januari 2022, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan YouTube Lokman Adam pada 10 Januari.

Khairy berkata kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga, selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasi.

Katanya, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integriti beliau terjejas teruk selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional, selain menyebabkan reputasi beliau direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini