comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lokman Adam lepas, bebas 2 pertuduhan sebar berita palsu COVID-19

Datuk Lokman Noor Adam.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, atas dua tuduhan termasuk menyebarkan berita palsu mengenai COVID-19, dua tahun lalu.

Hakim, Nor Hasniah Ab Razak, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada peringkat akhir kesnya.

Pada 1 Oktober 2021, Lokman, 50, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebarkan berita palsu di Facebook berhubung kemasukan warga India menyebar COVID-19 dan kematian seorang pegawai polis akibat vaksin.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Lokman didakwa dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam, menyebarkan berita tidak benar menggunakan profil ‘Lokman Adam’ di Facebook.

Ia menerusi rakaman audio visual berhubung dakwaan warga India memasuki Malaysia menerusi penerbangan dari Bangalore, India sebagai penyebab penyebaran COVID-19.

Selain itu, isu mengenai kematian pegawai polis, Asisten Komisioner (ACP) Shahriman yang adalah Ketua Cawangan Khas Polis Pahang meninggal dunia beberapa saat selepas suntikan kedua vaksin.

Kesalahan dilakukan pada 9 April dan 3 Mei serta dilihat pada 11 April dan 9 Mei 2021, di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Loading...
Terkini