KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan ditegur Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob kerana lewat tiba di mahkamah untuk perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor kemudian memohon maaf dan menyatakan sudah keluar rumah pada jam 7.15 pagi serta tidak menyangka perjalanan mengambil masa selama dua jam.
Hakim bagaimanapun mengingatkan Wan Saiful supaya kejadian sama tidak berlaku lagi.Saya harap ini kali pertama dan terakhir, (datang lewat ke mahkamah) selepas ini sila rancang perjalanan kamu,”katanya
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Wan Saiful berdepan dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.92 juta berhubung projek Jana Wibawa.
Dia juga dituduh meminta suapan bagi projek jalan bernilai RM232 juta yang ada kaitan dengan program sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan, Wan Saiful boleh dipenjarakan sehingga maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.