Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki warga Indonesia dipenjara 7 bulan, mencuri dan tinggal lebih masa

Warga Indonesia, Rosdi dipenjara tujuh bulan selepas mengaku curi 1,930 kg sawit dan tinggal lebih masa. FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Lelaki warga Indonesia yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yong Peng, hari ini dipenjara tujuh bulan atas dua pertuduhan mencuri hampir dua tan sawit serta tinggal lebih masa di negara ini, Isnin lalu.

Tertuduh, Rosdi, 36, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bekerja sebagai pengait sawit didakwa cuba mencuri 1,930 kilogram (kg) sawit milik lelaki berusia 44 tahun di sebuah kebun di Parit Haji Abdul Rahman, Senggarang, jam 4.06 petang, 11 November lalu.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Untuk pertuduhan kedua, dia didapati tinggal lebih masa selepas pas lawatan sosial tamat pada 27 Januari 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) akta sama.

Hukumannya, denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sewaktu pengadu yang juga mangsa berada di rumahnya, dia terima panggilan daripada salah seorang saudara memaklumkan ternampak sebuah lori memasuki kebun sawitnya.

Tidak lama selepas itu, dua lelaki terbabit dilihat sedang memunggah sawit ke dalam lori dan pengadu segera menghubungi polis memaklumkan perkara itu.

Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati tertuduh bersama seorang lagi lelaki cuba mencuri sawit milik pengadu.

Polis menjalankan pemeriksaan ke atas tertuduh turut mendapati lelaki itu tinggal lebih masa dengan pas lawatan sosial sudah tamat tempoh sejak lapan tahun lalu.

Siasatan juga mendapati, tertuduh mengupah pemandu lori untuk mengangkut sawit yang dicurinya untuk dijual di lokasi berdekatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama dan tiga bulan untuk yang kedua.

Semua hukuman berjalan serentak berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap, 11 November lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini