KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh berusia sekitar 30-an ditahan reman selepas disyaki cuba memberikan rasuah hampir RM4,000 kepada seorang pegawai polis bagi membebaskan rakannya yang ditahan kerana mencuri.
Suspek yang bekerja di sebuah kilang di Lembah Klang itu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kira-kira jam 1 tengah hari semalam di Pejabat SPRM Cawangan Kuala Selangor ketika hadir memberi keterangan.
Siasatan awal mendapati, suspek yang telah ditahan di Balai Polis Kuala Selangor pada Rabu lalu, cuba menyogok seorang pegawai polis dengan wang rasuah di sebuah bilik di balai berkenaan.
Majistret Siti Hajar Ali mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 9 Januari selepas permohonan dibuat oleh pihak SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Selangor pagi tadi.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, mengesahkan penahanan suspek dan memaklumkan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.