KUANTAN: Penyelia kilang yang baru dijatuhi hukuman penjara tujuh hari, hari ini kerana mencederakan dan mengugut seorang pemandu wanita sehingga viral di media sosial, akan berdepan satu lagi pertuduhan.
Suspek berusia 29 tahun itu dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat dan menampar pekerja restoran di sebuah premis di Cameron Highlands, pada 4 Jun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, berkata seorang pekerja restoran membuat laporan polis di Balai Polis Cameron Highlands terhadap suspek sama, pada 7 Jun lalu.Berikutan itu, katanya, pihak polis sedang menyiapkan siasatan.
“Siasatan mendapati suspek telah menampar seorang pekerja bertubi-tubi kerana makanan yang dipesannya lewat sampai.
“Sementara seorang lagi pekerja dipukul ketika cuba memberi penjelasan kepada suspek bahawa hidangan yang dipesannya tidak tersedia.
“Polis akan memanggil beberapa saksi untuk melengkapkan siasatan berhubung kejadian itu,” katanya.
Yahaya berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan secara sengaja dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menggunakan perkataan kesat.
Hari ini, Mahkamah Majistret Tapah, Perak memerintahkan Mohammad Zaim Faiz Tarmizi menjalani hukuman penjara tujuh hari, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Tular video rakaman di media sosial, memaparkan seorang lelaki yang melemparkan kata-kata kesat sambil menunjal kepala seorang pemandu wanita.