comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki tular belasah isteri selepas curang, tak mengaku bersalah

Lelaki yang videonya tular memukul isterinya selepas curang di sebuah hotel, Mohd Ridwan, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson. -Foto: NSTP

PORT DICKSON: Lelaki yang bertindak membelasah isterinya selepas ‘ditangkap’ curang bersama kekasih di sebuah hotel di sini, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Ridwan Mat Nasir, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menggunakan kekerasan terhadap isterinya berusia 38 tahun di sebuah hotel di Port Dickson pada jam 9.50 pagi, 24 Mei 2024.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 352A Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pegawai pendakwa, Inspektor Nor Asiah Mahmud mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), A Krishnaveni memohon jaminan terhadap tertuduh dikurangkan kepada RM2,500 atas alasan dia hanya bekerja sebagai juruteknik.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes akan dilakukan pada 23 Julai ini.

Sebelum ini, polis mengesan video tular di media sosial berhubung seorang lelaki memukul isterinya yang dipercayai baru habis berpantang.

Berdasarkan siasatan polis, kejadian disyaki berlaku disebabkan lelaki terbabit berlaku curang.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa cedera di bahagian pipi dan sakit di beberapa anggota.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini