Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki tidak mengaku tipu urusan pembelian kenderaan lelong JPJ

Muhammad Radzi Azman dihadapkan ke Mahkamah Kuala Selangor hari ini atas pertuduhan menipu urusan pembelian kenderaan lelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). FOTO NSTP

KUALA SELANGOR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kuala Selangor di sini, hari ini atas pertuduhan menipu dalam urusan pembelian kenderaan lelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Muhammad Radzi Azman, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Radzi menipu seorang lelaki berusia 43 tahun dengan cara memperdayakan dan dengan curang mendorong mangsa menyerahkan wang RM8,050 secara tunai untuk urusan pembelian kenderaan lelong yang ditawarkan tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di Batu 13 1/2, Lorong Teratai, Kampung Sungai Serdang, Kapar antara 11 September hingga 3 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Namun Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, M Mariappan yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh yang sudah berkahwin berpendapatan sekitar RM900 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 5 Mac depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini