comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki tidak mengaku pukul, sepak ibu kandung

FOTO: NSTP

MUAR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memukul dan menyepak ibu kandungnya hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan retak di jari kanan, minggu lalu.

Tertuduh, Wong Hoe Yang, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, Wong yang masih bujang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ibu kandungnya berusia 70 tahun di sebuah rumah di Tangkak, antara jam 3.30 hingga 4 pagi, 16 Julai lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, dengan Seksyen 325 membolehkan tertuduh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika disabitkan, sementara Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum ke atas sabitan bagi kesalahan mengikut seksyen relevan.

Berdasarkan laporan polis, kejadian berlaku ketika tertuduh tidur di dalam bilik bersama mangsa.

Sebelum itu tertuduh dikatakan mempunyai perselisihan faham dengan ibunya, sebelum bertindak di luar kawalan.

Dia juga dilapor menutup mulut ibunya ketika memukul mangsa kerana bimbang jeritan didengari jiran.

Mangsa dapat menyelamatkan diri dengan meminta bantuan orang ramai pada keesokan hari selepas anaknya keluar membeli sarapan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Difahamkan, tertuduh gagal membayar ikat jamin dan dihantar ke ke Pusat Koreksional Muar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini