Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki tak senonoh direman empat hari akibat tayang ‘anu’

Suspek (tengah) dibawa anggota polis mendapat perintah reman selama empat hari untuk siasatan berhubung kes menunjukkan kemaluan kepada dua wanita bersaudara di Batu 22, Teroi semalam.

YAN: Padah menunjukkan kemaluan terhadap dua wanita ketika menunggang motosikal, lelaki yang ditahan polis semalam kini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata perintah reman terhadap suspek dikenakan bermula hari ini hingga 9 Februari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek berusia 26 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

“Namun siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian semalam, dua wanita bersaudara berdepan detik cemas apabila terserempak dengan seorang lelaki yang menunjukkan kemaluannya ketika menunggang motosikal.

Kejadian berlaku jam 11.30 pagi ketika Nur Wahida Ahmad, 27, dan anak saudaranya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Keda, Sungai Udang, di sini, selepas pulang dari kursus kulinari di Guar Chempedak.

Bagaimanapun suspek ditahan jam 5.45 petang semalam selepas mula dijejaki polis selepas mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan sejurus kejadian.

Loading...
Terkini