![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BWhCscUO-BULETIN-TV3-AD-31.jpg)
BUTTERWORTH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Ihsan Mohd Kamarun Zaman, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis di tepi jalan susur keluar Sungai Dua dalam daerah Seberang Perai Utara, jam 8 malam pada 29 Januari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.
Terdahulu, lelaki yang mempunyai 14 rekod lampau direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun dan menyamar polis dalam kejadian di susur keluar Sungai Dua di sini.
Penahanan suspek dibuat susulan laporan polis oleh seorang warga asing berusia 40 tahun yang memberitahu disamun lelaki yang menyamar anggota polis pada 29 Januari lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.