Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki Rohingya berdepan pendakwaan kes bunuh isteri dan anak, dadah

Polis membawa lelaki etnik Rohingya untuk berdepan pertuduhan kes bunuh dan dadah di Mahkamah Majistret, hari ini. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Seorang lelaki etnik Rohingya yang disyaki membunuh isteri dan dua anaknya pada 18 Ogos lalu sebelum mayat mangsa ditemui dengan kesan kelar, tiba di Mahkamah Majistret di sini untuk menghadapi pendakwaan, hari ini.

Suspek yang tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9.30 pagi tadi dibawa ke dua Mahkamah Majistret untuk pertuduhan kes bunuh dan dadah secara berasingan.

Lelaki itu yang memakai kemeja-T dan seluar hitam itu kelihatan sugul ketika dibawa polis pengiring dengan bergari untuk berdepan pendakwaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki etnik Rohingya disyaki membunuh isteri dan dua anaknya yang ditemui dengan kesan kelar di leher di dua lokasi berasingan di daerah ini.

Mayat isterinya yang berusia 34 tahun dan anak perempuannya berumur 10 tahun dijumpai dalam longkang di belakang bangunan terbiar berhampiran Pekan Simpang Kuala, di sini, kira-kira jam 5 petang 19 Ogos lalu.

Susulan itu, polis menahan suspek di Masjid Al Hidayah, Bukit Pinang, di sini, kira-kira jam 9 malam hari sama.

Kira-kira jam 12 tengah hari keesokannya, mayat anak lelaki suspek yang berusia dua tahun pula ditemui di kawasan Pantai Leman, Kuala Kedah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini