comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki Rogol, Liwat Anak

FOTO: NSTP

MELAKA: Lelaki yang menjadikan dua anak kandung berusia 15 dan 19 tahun sebagai hamba seks sejak tujuh tahun lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.

Dia menghadapi 28 pertuduhan termasuk merogol, melakukan seks luar tabii dan mengadakan hubungan seks menggunakan objek terhadap seorang daripada mangsa.

Tertuduh berusia 56 tahun itu membuat pengakuan sejurus dibacakan semua pertuduhan itu oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Sepanjang prosiding, tertuduh yang memakai baju-T hitam dan seluar panjang warna coklat kelihatan sugul di kandang pesalah dan hanya menundukkan kepala.

Ketika disoal Nariman beberapa kali sama ada tertuduh benar-benar faham pertuduhan dan hukuman bakal diterima, termasuk 10 sebatan wajib bagi setiap pertuduhan rogol biarpun usianya sudah melebihi 50 tahun, tertuduh menyatakan ‘faham’ dan tetap mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-13 tertuduh didakwa merogol anak kandungnya kini berusia 19 tahun, iaitu perhubungan di antara mereka tidak dibenarkan undang-undang untuk berkahwin.

Semua kesalahan itu dilakukan di antara 24 september 2015 hingga 31 Disember 2018, pada masa berbeza di rumah mereka di Batu Berendam, dekat sini.

Bagi pertuduhan ke-14 hingga ke-28 tertuduh yang bekerja sebagai penyelia syarikat pelaburan didakwa atas lapan pertuduhan merogol anak keduanya kini berusia 15 tahun; lima pertuduhan melakukan hubungan seks dengan menggunakan objek terhadap mangsa tanpa kebenarannya dan masing-masing satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan bertentangan aturan tabii (oral seks) terhadap mangsa.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu tempat sama pada tarikh dan masa berlainan di antara 4 Mei 2019 hingga 5 September 2022.

Bagi kesalahan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukum penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan melakukan seks dengan memasukkan objek ke bahagian sulit mangsa dikemuka mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, memperuntuk hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan denda serta sebat.

Kesalahan amang seksual fizikal pula didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama seksyen 16 akta sama, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii, bapa kepada lima anak itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan terhadap isterinya berusia 47 tahun dengan mengatakan mahu membunuhnya dan anak-anak di tempat sama, pada 5 September lalu, kira-kira jam 11 pagi.

Dia didakwa melakukan kesalahan Seksyen 506 kanun sama, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya (mendatangkan ketakutan) dan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali (ugutan bunuh).

Hakim Nariman dan Majistret Mazana Sinin bagaimanapun menangguhkan esok untuk fakta dan hukuman terhadap tertuduh, selepas dimohon Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari dan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob yang menjalankan pendakwaan berasingan bagi menyediakan fakta kes.

Terdahulu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi semua 29 pertuduhan sementara menunggu keputusan hukuman esok.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan mahkamah dia tiada wang untuk membayar ikat jaminan selain menghidap pelbagai penyakit termasuk, sakit kulit kronik, sakit jantung, diabetes dan darah tinggi.

Berikutan tidak mampu membayar ikat jamin, tertuduh yang beristeri dua itu kemudiannya ditahan polis sementara menunggu keputusan hukuman esok. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini