Oleh: Atikah Azlan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala lumpur menjatuhkan hukuman penjara 4 tahun kepada seorang lelaki memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas DAESH di sini, hari ini.
Hukuman itu diputuskan oleh Hakim K. Muniandy Kannyapan selepas tertuduh Muhammad Fesool Haron, 35, mengaku bersalah dan disabitkan 1 pertuduhan.
Fesool disabitkan kesalahan kerana memiliki 1 rakaman audio, 10 video dan 5 tangkapan layar telefon yang berkaitan dengan kumpulan pengganas DAESH
Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun keseksaan Akta 574 yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau denda, serta pelucut hakkan bahan tersebut, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhurrazi Ahmad Salim memohon tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan itu boleh menggugat keselamatan negara dan orang awam.
Walau bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam bela, Kanmani Nookaiah memohon mahkamah mengenakan denda paling minimum atas alasan anak guamnya yang mempunyai tanggungan 2 orang anak yang masih bersekolah serta seorang ibu masih uzur.
Selain itu, tertuduh juga mengaku telah insaf dan ingin memperbaiki diri ke atas perbuatan yang dilakukan.
Hakim mempertimbangan rayuan tertuduh dan mengurangkan tempoh hukuman penjara kepada 4 tahun bermula dari tempoh tangkapan 30 Mei 2024 yang lalu.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di kawasan perindustrian Kempas, Johor Bahru pada kira-kira 1.10 tengahari bertempat di perkarangan bangunan Switch Flow Sdn. Bhd. pada 30 Mei yang lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.