Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki mengaku tidak bersalah tipu wanita RM165,000 berkait pelaburan emas

Rosdi Abd Malek didakwa memperdaya mangsa kononnya menerima emas fizikal dan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam dua akaun bank miliknya.

Oleh: Selwam Arjunan

BUTTERWORTH: Seorang bekas penolong pegawai penyedia makanan di sebuah hospital mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 11 pertuduhan menipu seorang wanita membabitkan kerugian bernilai RM165,000 berkaitan pelaburan emas.

Tertuduh, Rosdi Abd Malek, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin Ghani.

Mengikut 11 pertuduhan, dia didakwa memperdaya mangsa kononnya menerima emas fizikal dengan meminta mangsa menyerahkan wang ke dalam dua akaun bank miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Bandar Putra Bertam antara 20 Februari hingga 13 Julai tahun ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.

Majistret membenarkan ikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan yang keseluruhannya berjumlah RM33,000.

Mahkamah juga menetepkan 23 Januari tahun depan, sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini