Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki mengaku tidak bersalah rogol gadis bawah umur

MUAR: Seorang lelaki yang telah bertunang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol gadis bawah umur dalam sebuah kereta yang diparkir di hadapan rumahnya, bulan lalu.

Tertuduh, Khairul Irsyad Khairuddin, 22, yang juga juruteknik sebuah universiti awam (UA) di Pagoh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol gadis berusia 15 tahun dalam sebuah kereta di hadapan sebuah rumah dalam daerah ini pada jam 9 malam, 15 November lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan jika sabi kesalahan.

Berdasarkan laporan dibuat, mangsa mengenali tertuduh melalui aplikasi mencari kenalan sebelum mereka bertemu.

Mangsa dibawa oleh suspek dengan menaiki sebuah kereta sebelum berhenti di hadapan rumahnya lalu melakukan perbuatan terkutuk itu.

Selain merogol, suspek juga mengugut menyebar video lucah mangsa serta tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa termasuk ibu bapanya.

Kejadian terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis selepas diugut tertuduh kerana mahu memutuskan hubungan sebaik mengetahui lelaki itu sudah bertunang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Qurratul Aini Md Roslan.

Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin dengan alasan tertuduh tinggal berdekatan mangsa selain terhadap unsur ugutan diterima.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 6 Januari tahun depan untuk serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini