comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki mengaku tidak bersalah cabul guru praktikal

Foto: NSTP

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PORT DICKSON: Seorang lelaki berusia 43 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul seorang guru praktikal di sebuah pusat pengajian agama di sini.

Tertuduh, Mohd Hafidz Eshak yang juga pengerusi pusat pengajian berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pengajian Al-Quran Al-Hafiz Wisma Galilee, Port Dickson.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia 19 tahun kira-kira jam 6.40 petang pada 18 Ogos lalu.

Pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mohd Hafidz didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali meminta mahkamah memberikan tarikh lain bagi pengurusan kes, selain memohon menetapkan ikat jamin RM50,000 atas kesalahan yang dilakukan tertuduh.

Katanya, tertuduh mempunyai satu lagi pertuduhan berat di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, selain perlu mengambil kira kepentingan awam apabila menetapkan jumlah wang jaminan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Datuk Hanif Hassan berhujah bahawa jumlah itu terlalu tinggi dan mencadangkan RM3,000 sebagai jumlah yang adil dengan menyatakan kepada mahkamah tertuduh tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM4,000 dan memerintahkan tertuduh untuk tidak menghubungi mangsa atau saksi.

Pengurusan semula kes ditetapkan pada 17 Oktober depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini