CHUKAI: Seorang lelaki mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas dua pertuduhan melakukan khianat serta memiliki senjata tiruan sehingga tertembak rumah jirannya, Disember lalu.
Tertuduh, Tan Chee Kiong, 49 tahun mengaku bersalah selepas kedua-dua tuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melepaskan tembakan dari senjata jenis senapang slingshot bersama galas bebola miliknya sehingga menyebabkan kerosakan cermin rumah pengadu yang kerugian kira-kira RM3,000.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Banggol Indah, Kampung Paya Berenjut Kemaman pada 28 Disember kira-kira jam 4.30 petang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat dengan menggunakan senjata dan jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara hingga maksima lima tahun atau denda.
Bagi pertuduhan kedua, Tan Chee Kiong didakwa memiliki selaras senapang slingshot berwarna ‘rose gold’ dan satu bekas plastik mengandungi 79 biji galas bebola yang berada di atas meja dalam bilik rumahnya pada 29 Disember kira-kira jam 6.45 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau dikenakan denda hingga maksima RM5,000.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh didenda sebanyak RM3,000 bagi pertuduhan pertama dan RM2,500 bagi pertuduhan kedua dan tertuduh membayar denda terbabit.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi, sementara tertuduh diwakili Peguam Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.