comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki mengaku salah rakam jiran mandi, dipenjara 5 bulan

Muhammad Fakrul Najmi dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah merakam jirannya mandi. Foto: NSTP

MELAKA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, selepas mengaku bersalah merakam jirannya mandi minggu lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Fakrul Najmi Rohaizan, 26, selepas menerima pengakuan tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati merakamkan gambar mangsa wanita berusia 44 tahun sedang mandi menggunakan telefon bimbit di sebuah rumah di Padang Temu, di sini, pada jam 10.50 malam, 10 November lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan laporan polis dibuat mangsa, dia menyedari dirinya dirakam selepas terlihat ada tangan memegang telefon bimbit di celah lubang angin tandas sebelum merampas telefon bimbit itu.

Mangsa bergegas mendapatkan suaminya dan menceritakan kejadian sebelum tertuduh yang juga anak jirannya datang untuk meminta maaf.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan kerana menanggung keluarga dan hanya hanya bekerja sebagai penjaga stor.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan daripada tarikh ditangkap iaitu pada 14 November lalu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini