Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki kudung mengaku salah 7 pertuduhan tembak polis, miliki senjata api, dadah

Muhamad Firdaus Paiman (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kota Tinggi. – FOTO: NSTP

KOTA TINGGI: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) berdepan tujuh pertuduhan berkaitan senjata api dan dadah serta melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

Muhamad Firdaus Paiman, 35, yang kudung kaki kiri  didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Sazlina Safie atas pertuduhan memiliki pistol Beretta Gardone VT dan selaras senapang patah buatan sendiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah kereta di tepi Masjid Al Ikhwan Gugusan Adela, di sini, kira-kira jam 1 pagi, 10 Mei lalu.

Bagi pertuduhan pertama itu, Muhamad Firdaus didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum maksimum penjara 14 tahun serta sebatan sehingga enam kali.

Bapa tunggal itu juga didakwa memiliki tiga butir peluru jenis Kartus 12 Bore dan empat butir peluru jenis 9 milimeter (mm) tanpa lesen senjata di sebuah rumah di FELDA Tunggal, kira-kira jam 2.30 pagi, 10 Mei lalu.

Pertuduhan ketiga menyebut tertuduh memiliki selaras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen senjata di lokasi, jam dan tarikh yang sama, manakala pertuduhan keempat, memiliki sebutir peluru jenis Kartus 12 Bore tanpa lesen senjata.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Muhamad Firdaus mengaku bersalah bagi semua pertuduhan dan Hakim Sazlina menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes dan keputusan penghakiman.

Bagi tiga pertuduhan lain, dia juga dihadapkan ke Mahkamah Majistret.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati atas kesalahan melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal.

Tindakannya itu bagi menghalang penangkapannya di bulatan Lotus Desaru Bandar Penawar, Pengerang, kira-kira jam 3.35 petang, 7 Jun 2016.

Muhamad Firdaus juga didakwa memiliki dadah jenis ‘nimetazepam’ seberat 0.44 gram di tepi jalan Masjid Jamek Al Ikhwan, Gugusan FELDA Adela, kira-kira jam 1 pagi pada 10 Mei, manakala pertuduhan ketiga, memiliki dadah kanabis seberat 0.90 gram di lokasi dan masa sama.

Tertuduh turut mengaku bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Majistret Rashidah Baharom menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan semula dan memindahkan kes ke Mahkamah Majistret Pengerang.

Loading...
Terkini