comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki Indonesia lari dari tahanan APMM dipenjara 3 bulan

Foto: NSTP

BATU PAHAT: Lelaki warga Indonesia yang melarikan diri dari tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Rahmat Ujang, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba melepaskan diri daripada kurungan bilik APMM selepas ditahan secara sah bagi kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Kejadian itu berlaku pada jam 2.30 petang, 15 September lalu di bilik APMM Batu Pahat dan oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika anggota APMM menahan tertuduh selepas didapati melanggar peraturan.

Ketika cuba menukar gari hadapan ke belakang, tertuduh merentap tangan anggota terbabit sebelum melarikan diri ke kawasan paya berdekatan bangunan APMM di Jalan Jeragan, Taman Pantai, di sini.

Tertuduh berjaya ditahan semula sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula tarikh ditahan pada 15 September.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini