MELAKA: Pemandu kren warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine lebih lima kilogram, bulan lalu.
Dalam prosiding kes didengar Majistret Khairunnisak Hassni itu, tertuduh, Darmawan,39, mengaku faham sejurus pertuduhan dibacakan dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah.
Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kesalahan mengedar dadah adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Darmawan didakwa mengedar dadah methamphetamine seberat 5,054 gram di tepi pesisir pantai belakang Impression City, Kota Shahbandar, dekat sini, pada 28 Oktober lalu, kira-kira 5.50 pagi.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam K Shareveen.
Wardah tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu untuk mendapatkan laporan kimia berat sebenar dadah dan dibenarkan mahkamah yang menetapkan kes disebut semula pada 2 Januari depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.