Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki direman seminggu bantu siasatan kes penjawat awam maut

Polis membawa lelaki yang direman seminggu bagi membantu siasatan berhubung kematian penjawat awam akibat pergaduhan di Machang. – Foto: NSTP

TANAH MERAH: Seorang lelaki direman seminggu bagi membantu siasatan berhubung kematian penjawat awam akibat pergaduhan di Machang, pagi semalam.

Suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini sehingga Ahad bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel berkaitan: Jurutera perkapalan hadapi tuduhan bunuh pegawai PPD Kuala Krai

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 46 tahun dikeluarkan oleh Majistret Amal Razim Alias di Mahkamah Tanah Merah.

Dalam kejadian 11 pagi semalam, seorang penjawat awam maut selepas berlaku pergaduhan di hadapan sebuah premis di Kampung Cabang Sungai Hala.

Mangsa yang berusia 51 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat parah di kedua mata dan patah tulang rusuk sebelah kiri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dilaporkan berkata, motif kejadian dipercayai suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Beliau berkata, suspek bekerja disebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur manakala mangsa dan isteri suspek adalah penjawat awam yang bekerja di sebuah jabatan yang sama di Kuala Krai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...
Terkini