comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki dipenjara 30 bulan, cuba samun wanita di Tawau

FOTO: NSTP

TAWAU: Seorang lelaki dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan cuba melakukan samun di kawasan parkir belakang sebuah kedai Jalan Pelabuhan dekat sini, Ahad lalu.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman ke atas Fazirin Japar, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah dan mensabitkannya dengan pertuduhan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba melakukan samun terhadap seorang wanita berumur 32 tahun, kira-kira jam 10 pagi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan hukuman denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa didatangi lelaki tidak dikenali ketika mahu masuk ke dalam kereta sebelum menegur dan mengatakan tayar kereta wanita itu pancit.

Tertuduh kemudian bertindak mencekik leher wanita itu dan cuba mengambil barangan berharga milik mangsa tetapi gagal apabila kejadian itu disedari orang awam dan ada antara mereka merakam video menggunakan telefon bimbit sebelum tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Tertuduh yang mempunyai rekod lampau berkaitan berkaitan jenayah pecah rumah dan kesalahan dadah ditahan jam 5.40 petang, sehari kemudian.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh 26 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan ujian kimia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini