Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki didenda RM6,000 miliki 169 gambar dan video lucah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Ampang menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap seorang pekerja penyelenggaraan kerana memiliki 169 gambar dan video lucah dalam telefon bimbitnya, tahun lepas.

Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman itu ke atas Mazlan Firdani Marzuki, 30, yang mengaku bersalah memiliki 92 kandungan gambar lucah dan 77 kandungan video lucah dalam telefon bimbitnya di sebuah rumah di Taman Ampang Indah, Ampang Jaya di sini pada 10.45 pagi, 20 April tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu. Dia membayar denda berkenaan.

Peguam Ernie Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Mazlan Firdani memohon hukuman paling minimum atas alasan tertuduh merupakan bapa tiga anak serta penanggung utama keluarga.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Nur Nazhzilah Mohammad Hashim dari Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (MCMC) memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Loading...
Terkini