Oleh: Baharuddin Mohamed
MELAKA: Gara-gara berang tindakan isteri yang telah lama menghilangkan diri muncul semula menuntut penukaran pemilikan harta, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk muka wanita itu, pada Julai lalu.
Tertuduh, Roslan Kamis, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya, Mazlena Md. Ali, 47, dengan cara memukul di bahagian muka sebelah kiri dan tangan sebelah kanan mangsa dengan menggunakan tangan.
Tindakan itu dilakukan pada jam 10.45 pagi di Taman Tanjung Jaya, Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah pada 25 Julai lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda boleh sampai RM2,000 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama 326A kanun sama.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM9,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak menganggu mangsa sehingga prosiding selesai.
Peguam N. Gunalan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sendiri dan menanggung tiga orang anak.
Difahamkan, pergaduhan itu berlaku apabila mangsa yang menghilangkan diri selama tiga tahun tiba-tiba muncul di kediaman tersebut dan meminta tertuduh membuat penukaran pemilikan harta.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dan bersetuju dengan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan.
Majistret Mazana menetapkan 18 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.