BUTTERWORTH: Seorang bapa kepada tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan sengaja mencederakan mata kirinya sendiri untuk mendapatkan pampasan insurans berjumlah RM1 juta pada Jun tahun lalu.
Tertuduh, Tan Kok Guan, 52, turut didakwa memperdayakan sebuah syarikat insurans dengan membuat tuntutan insurans disyaki palsu.
Bagaimanapun, lelaki yang telah cacat penglihatan sebelah kiri itu mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sejurus dua pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan satu permohonan tuntutan insurans kemalangan disyaki palsu, iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan pada mata kirinya untuk mendapatkan pampasan berjumlah RM1 juta.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Gajah, di sini, antara jam 9 pagi hingga 6 petang 8 Jun 2023.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa telah memperdayakan sebuah syarikat insurans dengan membuat tuntutan insurans yang disyaki palsu sehingga mendorong syarikat itu memasukkan wang tunai RM4,153.57 ke dalam akaun milik tertuduh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Paya, di sini, antara jam 9 pagi hingga 6 petang 20 Julai 2023.
Kedua-dua pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreena Zainurin, manakala tertuduh diwakili peguam, Yaw Xinying.
Airina Syazreena menawarkan ikat jamin RM16,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun Xinying memohon supaya anak guamnya dikenakan ikat jamin minimum atas alasan tertuduh kini tidak bekerja dan hanya mengharapkan pendapatan isteri untuk menyara mereka lima sekeluarga.
“Anak guam saya kini adalah seorang OKU (orang kurang upaya) apabila dia buta mata kiri dan sudah tidak bekerja sejak tahun lalu.
“Dia juga menghidap penyakit jantung dan strok. Selain itu, dia memberikan kerjasama sepanjang pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan menetapkan tarikh 20 Februari depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.