comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki didakwa rogol, amang seksual adik ipar 12 tahun

Foto: NSTP

KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik iparnya, Januari dan Februari lalu.

Walau bagaimanapun tertuduh yang berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Zukifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun enam bulan ketika kejadian yang juga adik iparnya, yang mana perhubungan dengan mangsa adalah tidak dibenarkan dibawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Tok Bok, dekat Machang, jam 7.40 petang, pada 30 Januari 2024.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan juga tidak kurang daripada 10 sebatan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama di dalam sebuah kereta Perodua Alza ketika dalam perjalanan, jam 7 pagi, pada 4 Februari 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin serta Mohd Taufikrullah Rusli.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu adalah serius.

Walau bagaimanapun, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah minimum kerana lelaki itu bukan berasal daripada keluarga yang senang.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak menganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 2 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini