Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki didakwa cabul, miliki video lucah

Azrul Afiq didenda RM7,500 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan wanita dan memiliki video lucah. FOTO: NSTP

SEREMBAN: Bakal pengantin didenda RM7,500 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan wanita dan memiliki video lucah Isnin lalu.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Azrul Afiq Adzelan Ahmad, 25, yang membuat pengakuan bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan.

Mahkamah menetapkan Azrul Afiq didenda RM4,000 bagi pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, jika gagal bayar boleh dipenjara tujuh bulan.

Bagi pertuduhan memiliki video lucah, Azrul Afiq didenda RM3,500, jika gagal bayar boleh dipenjara enam bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 21 tahun dengan maksud mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 12.15 tengah malam, di dalam sebuah kedai serbaneka Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), arah Selatan, di sini, 10 Februari lalu.

Justeru itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua dari hukuman itu.

Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didapati dalam milikan mempunyai tiga video lucah dalam telefon bimbitnya jenis iPhone 16 Pro warna hitam.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira 5 petang, 10 Februari lalu di lokap Balai Polis Nilai.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh didakwa di bawah akta sama, memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Yunn Yiing yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda paling rendah atas alasan tertuduh bakal melangsungkan perkahwinan pada 25 Februari depan.

“Tertuduh juga menanggung ibu bapa dan tiga adik beradik yang lain. Malah, dia hanya belajar sehingga tingkatan lima dan tiada pekerjaan tetap.

“Kesalahan itu bukan disengajakan dan tertuduh sudah insaf,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini