![](https://media.buletintv3.my/2025/02/Ui7PYrL3-BULETIN-TV3-AD-22.jpg)
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh ibu mentuanya, awal bulan ini.
Tertuduh, Zuraidi Zakaria, 51, faham akan pertuduhan dihadapinya selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian warga emas, Epah Daik, 79, di sebuah rumah di Jalan Tembaga Merah, Taman Sri Skudai di sini, jam 4.20 petang, 5 Februari lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum gantung, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan DNA pada 28 April depan.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan susulan kematian seorang warga emas yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah rumah dekat Taman Sri Skudai, Skudai di sini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.