Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Seorang lelaki didakwa dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan membunuh bekas teman wanitanya dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di sini pada 29 Mei lalu.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.
Tiada pengakuan diambil daripada tertuduh, Chung King Fung @ Haidel Daniel Chung Abdullah, 32 tahun.
Mengikut pertuduhan, Haidel Daniel Chung didakwa membunuh Nurul Ain Silien, 22 tahun pada 29 Mei lalu antara jam 12 hingga 12.20 tengah hari di sebuah kedai Lot B-48, Jesselton Mall, Jalan Haji Saman.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pegawai pendakwa Inspektor Kelven kemudian memohon tarikh baharu untuk sebutan semula kes itu.
Ia sementara menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hosital serta laporan forensik dan data asid deoksiribonukleik (DNA) dari Jabatan Kimia.
Peguam Chun Teck Min mewakili tertuduh manakala Nabila Norsahar hadir sebagai peguam pemerhati kepada keluarga mangsa.
11 Julai depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.