comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki didakwa biarkan arnab peliharaan mati kelaparan

Shairazi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan tidak memberi makan arnab peliharaan sehingga mati. -NSTP

IPOH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan tidak memberi makan arnab peliharaan sehingga mati.

Bagaimanapun, tertuduh Shairazi Jamal Hatun, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa cuai untuk menyediakan makanan dan minuman bagi dua arnab kepunyaannya sehingga menyebabkan seekor daripadanya mati dan seekor lagi dalam keadaan terlalu kurus.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di dalam kawasan zoo haiwan peliharaan di Jalan Simpang Pulai, Kampung Kepayang, dekat sini, pada 11 pagi, 9 Jun tahun lalu.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 29(1)(d) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 29 (1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 28 November depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini