KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berperwatakan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri tiga botol minyak wangi di sebuah pusat beli-belah di ibu kota, awal bulan ini.
Pemandu e-hailing Andi Morshidi, 24, yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju senteng dan skirt mini, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah butik di pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini pada 9 malam 2 Februari lalu.
Lelaki berambut panjang itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun serta boleh didenda, dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dipenjara dan didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee tidak menawarkan jaminan namun peguam Ernie Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, yang mewakili tertuduh, memohon supaya jaminan diberikan kepada anak guamnya.
Majistret Nurul Izzah Shaharuddin membenarkan Andi diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran serta menetapkan 21 Mac ini untuk sebutan kes. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.