Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki ada kaitan dengan GISBH didakwa amang seksual kanak-kanak lelaki

Muhammad Miqdam (tengah) diiringi anggota polis atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Butterworth. FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Miqdam Muhammad Amir, 24, mohon kesnya dibicarakan ketika kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu sebagai seorang warden asrama yang mempunyai hubungan amanah didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian kemaluan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah, Jalan Bagan Buaya, Nibong Tebal dekat sini, kira-kira jam 12 tengah malam pada 11 Julai 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan kesalahan serius seksual yang mangsa adalah seorang kanak-kanak di bawah umur.

Bagaimanapun dalam rayuan tertuduh yang dibantu peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain memohon mahkamah memberikan jaminan terhadap tertuduh berikutan tertuduh yang kini bekerja sebagai penghantar barang tidak mempunyai pendapatan tetap dan mustahil untuk melarikan diri.

FOTO: NSTP



Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta meminta tertuduh mengikuti syarat tambahan dengan melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali dan melarang mengganggu mangsa.

Kes disebut semula pada 14 November depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Terdahulu pada 21 September lalu, media melaporkan empat premis milik GISBH di Pulau Pinang diserbu dalam operasi bersepadu yang dijalankan pihak berkuasa.

Antara lokasi terbabit dalam serbuan itu ialah di Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah, Bagan Buaya,Changkat Nibong Tebal; Pusat Jagaan Kanak-kanak Rumah Permata Kasih Taman Seri Mengkuang, Kubang Semang;Kedai Kek Dan Roti Ikhwan Bandar PERDA dan Ikhwan BP Mart, Bandar PERDA, Bukit Mertajam.

Dalam serbuan itu, sebanyak enam buku atau kitab yang disyaki berkaitan dengan gerakan Al-Arqam dan diharamkan sudah dirampas pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini