KUALA LUMPUR: Pelakon, Amelia Henderson hari ini diarahkan membayar lebih RM200,000 kerana melanggar kontrak syarikat penerbitan A Aida Production Sdn Bhd.
Mahkamah Sesyen Sivil juga memutuskan supaya pelakon itu atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, memohon maaf dan memadam video di Instagram mengandungi kenyataan fitnah terhadap syarikat itu.
Keputusan itu dibuat Hakim, Zulqarnain Hassan selepas mahkamah membenarkan saman dikemukakan syarikat terbabit terhadap Amelia berhubung isu kontrak sebuah drama, Sekali Lagi Cinta Kembali, tahun lalu.
“Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah berpuas hati plaintif (syarikat itu) berjaya membuktikan tuntutan. Justeru, mahkamah membenarkan permohonan pada penyata tuntutan dan bayaran pertama RM3,920 dipulangkan kepada plaintif dibenarkan dan faedah lima peratus daripada bayaran itu.
“Ganti rugi am fitnah dibenarkan RM90,000 dan injunksi mengenai fitnah dibenarkan. Defendan pertama (Amelia) memadam video dan meminta maaf kepada plaintif dibenarkan.
“Defendan pertama dan defendan kedua (pelakon, Idris Khan yang setuju selesaikan kes saman itu di luar mahkamah) secara bersama dituntut bayar RM202,650. Hanya dibenarkan RM101,325 saja (kos penggambaran drama yang perlu dibayar Amelia).
“Ganti rugi teladan dan teruk tidak dibenarkan. Faedah lima peratus daripada RM202,650 dan dibenarkan lima peratus daripada RM101,325, selain kos dibenarkan RM18,000,” katanya.
Sepanjang perbicaraan bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk Datuk A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 53 dan tiga saksi defendan termasuk Amelia memberi keterangan.
Ketika perbicaraan, pengurus produksi A Aida Production, Fazeyla Ahmad, 42, memberitahu mahkamah, syarikat itu terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dibuat Amelia.
Namun, Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika menerima tawaran untuk membintangi drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
Amelia dan Idris berdepan tindakan saman daripada A Aida selepas didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani.
A Aida bersama pengarah drama Sekali Lagi Cinta Kembali, Rizal Baharuddin dilaporkan sepakat membawa perkara itu ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, saman antara A Aida dan Idris berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk dibicarakan.