Oleh: Fatin Hanani Sahimi
SHAH ALAM: Suspek lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam kerana mengganggu seorang jurugambar wanita secara seksual, tiba di pekarangan mahkamah, kira-kira jam 10.35 pagi tadi.
Suspek berusia 37 tahun, juga individu pertama didakwa mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan atas kesalahan menghendap.
Suspek yang diiringi polis dibawa ke kamar Mahkamah Majistret Satu bagi pendakwaan kesnya.
Kes didengar Majistret, Sasha Diana Sabtu dengan hadir selaku peguam pemerhati, Jason Wee.
Turut kelihatan pengamal media yang mengikuti rapat kes berkenaan susulan tular di media sosial.
Terdahulu menerusi hantaran mangsa wanita, Acacia Diana di Instagram mendedahkan, dirinya diganggu seorang lelaki tidak dikenali bernama ‘Shafiq Rosli’ sejak lapan tahun lalu.
Mangsa turut mendakwa kerap menerima mesej berunsur lucah dan video memaparkan suspek berkenaan berkelakuan jelik.
Pada 15 Julai lalu media melaporkan kes ‘peminat misteri’ yang mengganggu seorang jurugambar profesional sejak lapan tahun lalu kini disiasat semula polis.
Laporan berhubung gangguan seksual dalam talian dihadapi jurugambar wanita berkenaan diterima polis pada 2018, sebagaimana dimaklumkan Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M. Hussin Zolkifly.
Siasatan kes diklasifikasikan semula mengikut dua akta berbeza.
Beliau berkata, siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.
Suspek didakwa mula mengganggu mangsa sejak 2016 dengan meninggalkan komen di halaman blog mangsa dan melakukan perbuatan hendap terhadap mangsa sejak 2017.
Mangsa turut memberitahu, suspek pernah mengekorinya ke sebuah restoran dan ke rumah.
Pada 22 Julai lalu, Polis berjaya mengesan suspek dan semakan mendapati, individu itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital kerana masalah mental dialaminya.
Berita lanjut menyusul.